Tuesday 20 January 2015

Hari Pertama


Kesemua ahli peserta program selamat tiba di perkarangan d’Alai Homestay lebih kurang jam 2.00 petang. Selesai sahaja urusan Daftar Masuk, kesemua peserta terus sahaja menikmati hidangan makan tengahari secara Pot Luck. Yang bawa rendang, bawa rendanglah. Yang membawa nasi, periuklah yang dibawanya bersama. Pendek kata, tiadalah yang kelaparan. Meriah jangan cakaplah. Dia punya meriah serupa majlis kenduri kahwin. Mujur tiada pelamin sama pengantin sahaja. 

Berlangsung kemudiannya pula adalah aktiviti bebas yang mana anak-anak sibuk bermain air di Kolam Renang sambil ditemani oleh ibubapa. Kesempatan yang terluang, ada juga kalangan peserta duduk sambil berbual-bual kosong bertanya khabar sesama sendiri khususnya buat yang pertama kali bersua muka sambil menikmati juadah Kuih Keria Limbongan dan juga Karipap goreng panas yang telah diuruskan dengan baik oleh pihak Urusetia demi memastikan tiada siapa yang kelaparan sepanjang program berlangsung. 

Menjengah ke lewat petang, pihak Urusetia yang diketuai oleh Kak Ita sambil dibantu oleh ahli jemaah yang lain telah bersedia untuk bersilat di dapur bagi menyediakan makan malam yang bertemakan BBQ. (Handal betul Kak Ita, dari siang tak reti duduk diam. Ada sahaja kerja yang beliau hendak lakukan. Terima kasih banyak-banyak Kak Ita!). Urusan pembakaran arang telah diketuai oleh Saudara Shahir yang tidak kurang handalnya bertarung dengan Arang yang seakan lambat sungguh untuk bertukar menjadi Bara. Mujur juga tahap kesabaran Shahir cukup tinggi. Makan sejam jugalah nak menunggu Arang tersebut bertukar menjadi Bara. Sesudah Bara tersedia, barulah upacara BBQ berjalan dengan pantasnya tanpa melibatkan sedikit kelewatan waima seminit pun. Selain daripada bertemakan BBQ, hidangan Nasi Goreng ,Mihun Goreng dan juga Otak-Otak turut tersedia untuk dijamah oleh peserta. Program makan malam ini berlangsung dalam suasana yang cukup santai dan ceria. Sekitar jam 11.00 malam, barulah ramai peserta masuk tidur untuk berehat. Tapi ada pula kaum-kaum hawa yang siangnya tidak berkesempatan untuk bermain air di Kolam Renang, masa inilah kedengaran mereka mula melakukan aksi terjun tiruk serta kuak lentang dan sebagainya tanpa ada sebarang gangguan sambil menyambung sesi persembangan sehingga ke lewat tengahmalam. 

Bermulanya Cerita..

Sekitar bulan Ogos 2014, beberapa orang kakitangan telah pun mula bersembang untuk menganjurkan suatu event santai bagi menghilangkan tekanan kerja di pejabat yang boleh tahan hebat. Daripada cakap-cakap kosong, akhirnya kata putus telah dicapai, ditambah lagi dengan persetujuan daripada En. Yazid yang juga merupakan Ketua Jabatan turut menyokong idea santai sebegini. Maka bermulalah kisah-kisah pencarian di manakah tempat / lokasi yang sesuai untuk dijadikan sebagai venue event. 

Diketuai oleh Kak Ita sambil dibantu oleh tukang sibuk yang lain-lain, usaha mencari lokasi giat dijalankan disamping melakukan tugas-tugas hakiki sebagai Executor. Ada kalangan yang tidak sabar lantas mencadangkan agar dibuat sahaja program tersebut dalam tempoh terdekat. Walaupun ramai yang bersetuju, namun atas faktor kelewatan membuat tempahan, maka hasrat menganjurkan program santai ini terpaksa dianjakkan sehingga ke tahun 2015. Dan akhirnya, d'Alai Homestay telah dipilih sebulat suara sebagai lokasi tempat penganjuran untuk program yang julung kalinya dianjurkan ini.