Kesemua ahli peserta program
selamat tiba di perkarangan d’Alai Homestay lebih kurang jam 2.00 petang.
Selesai sahaja urusan Daftar Masuk, kesemua peserta terus sahaja menikmati
hidangan makan tengahari secara Pot Luck. Yang bawa rendang, bawa rendanglah.
Yang membawa nasi, periuklah yang dibawanya bersama. Pendek kata, tiadalah yang
kelaparan. Meriah jangan cakaplah. Dia punya meriah serupa majlis kenduri kahwin. Mujur tiada pelamin sama pengantin sahaja.
Berlangsung
kemudiannya pula adalah aktiviti bebas yang mana anak-anak sibuk bermain air di
Kolam Renang sambil ditemani oleh ibubapa. Kesempatan yang terluang, ada juga
kalangan peserta duduk sambil berbual-bual kosong bertanya khabar sesama
sendiri khususnya buat yang pertama kali bersua muka sambil menikmati juadah
Kuih Keria Limbongan dan juga Karipap goreng panas yang telah diuruskan dengan
baik oleh pihak Urusetia demi memastikan tiada siapa yang kelaparan sepanjang program berlangsung.
Menjengah
ke lewat petang, pihak Urusetia yang diketuai oleh Kak Ita sambil
dibantu oleh ahli jemaah yang lain telah bersedia untuk bersilat di dapur bagi
menyediakan makan malam yang bertemakan BBQ. (Handal betul Kak Ita, dari siang tak reti duduk diam. Ada sahaja kerja yang beliau hendak lakukan. Terima kasih banyak-banyak Kak Ita!). Urusan pembakaran arang telah diketuai oleh Saudara Shahir yang tidak kurang handalnya bertarung dengan Arang yang seakan lambat sungguh untuk bertukar menjadi Bara. Mujur juga tahap kesabaran Shahir cukup tinggi. Makan sejam jugalah nak menunggu Arang tersebut bertukar menjadi Bara. Sesudah Bara tersedia, barulah upacara BBQ berjalan dengan pantasnya tanpa melibatkan sedikit kelewatan waima seminit pun. Selain daripada bertemakan BBQ, hidangan Nasi Goreng ,Mihun Goreng dan juga
Otak-Otak turut tersedia untuk dijamah oleh peserta. Program makan malam ini berlangsung
dalam suasana yang cukup santai dan ceria. Sekitar jam 11.00 malam, barulah
ramai peserta masuk tidur untuk berehat. Tapi ada pula kaum-kaum hawa yang siangnya tidak berkesempatan untuk bermain air di Kolam Renang, masa inilah kedengaran mereka mula melakukan aksi terjun tiruk serta kuak lentang dan sebagainya tanpa ada sebarang gangguan sambil menyambung sesi persembangan sehingga ke lewat tengahmalam.
No comments:
Post a Comment